Selepas iman dan akidah, pengukuhan
iman seorang Muslim dikuatkan dengan keimanan kepada Rasulullah. Beriman kepada
rasul juga mesti sampai ke peringkat buat apa yang nabi buat, bukan pilih-pilih
tapi segala-galanya mesti diikut kerana segala perbuatan nabi adalah wahyu
daripada Allah.
Sebagaimana firman Allah yang
bermaksud:
“Tiadalah segala yang datang dari
nabi itu nafsu melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya.”
Jadi kita perlu melakukan apa yang nabi
suruh kita lakukan. Itu sebab nabi diutus dalam bentuk manusia. Bayangkan jika
malaikat jadi nabi, kita pasti susah mahu ikut kerana malaikat tak makan, tak
minum, tak kahwin.
Kehidupan Rasulullah berlandaskan
wahyu Allah. Semua orang makan, tapi jika makan cara nabi jadi ibadat. Begitu
juga kahwin, nabi ajar cara perkahwinan yang betul, begitu juga hiburan, nabi
mengajar cara berhibur yang betul.
Kenapa mesti kita mencintai
Rasulullah? Pertamanya, kerana nabi terlalu cinta kepada kita. Apa bukti nabi sangat
cinta pada kita? Bacalah sejarah, sebelum nabi wafat, antara perkataan akhir
nabi ialah “ummati, ummati” (umatku, umatku) umat nabi itu kitalah.
Menurut satu riwayat lain, ketika
nabi dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak antara perkataan pertama nabi tanya
kepada malaikat Jibril ialah “Di mana umatku?”
Nabi juga pernah menyatakan dalam
satu hadis yang bermaksud:
“Bahagialah siapa yang melihat ku
dan beriman padaku” kemudian nabi sebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah,
bahagialah siapa yang tidak melihatku tapi beriman denganku.”
Orang yang tak lihat nabi tapi
beriman pada nabi, antaranya kitalah, nabi puji kita tiga kali. Sebab kedua
kenapa mesti mencintai nabi sebab cinta nabi tanda sempurnanya iman seseorang
Muslim.
Maknanya kalau tak cinta nabi tak
sempurnalah iman kita. Sabda nabi yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang kamu
sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan
manusia seluruhnya.”
Saidina Umar pernah satu hari
berkata pada nabi,
“Aku sayangi diriku, lepas tu baru
aku sayang padamu, wahai Rasulullah. Nabi menjawab, cintailah aku lebih
daripada cinta pada dirimu, barulah sempurna iman kamu.”
Ketiga, nabi sangat banyak jasa
kepada kita, jasa nabi bukan sembarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan
wang ringgit. Jasa nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang
sebenar.
Nabi sanggup berkorban harta, isteri
baginda jadi miskin, bergadai untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah.
Rasulullah berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam
sampai ke dalam hati kita.
Itulah kenapa kita perlu sangat
bersyukur merasai nikmat iman dan Islam kerana bapa saudara nabi sendiri, Abu
Talib, walaupun nabi sudah melakukan dakwah tetapi masih tidak dapat terima
Islam.
Jadi begitu mahalnya nilai Islam ini
sebenarnya kepada kita semua. Kemudian, kita mesti cinta nabi sebab nabi
makhluk Allah yang maksum, yang tidak ada salah apatah lagi cacat cela.
Rasulullah terpelihara daripada
segala aib. Malahan baginda mendapat pula al-Quran sebagai mukjizat, sebagai
panduan. Jelas sekali mencintai nabi bermakna kita mencintai seorang yang agung
dan amat mulia.
Justeru cintailah nabi Muhammad
kerana baginda membimbing kita kepada kebenaran, huraikan ayat al-Quran agar
kita mudah memahaminya, nabi juga tak jemu-jemu memberi nasihat agar umatnya
selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.
Akhir sekali kenali nabi dengan
mempelajari sirah nya, memahami hadisnya dan cintailah nabi dengan mencintai
apa yang dicintainya.
Nabi Muhammad patut diikuti dan disayangi
sebab pada nabi ada segala-galanya.
Baginda paling cantik dan dialah
yang paling hebat. Cuma kita saja tak tahu kerana tidak baca secara mendalam
perjalanan sirah nabi dan jika baca pun sambil lalu saja.
Nabi Muhammad cemerlang dalam
pelbagai dimensi. Cerita nabi lengkap daripada mula lahir, ketika kanak-kanak,
remaja, dewasa sehingga tua dan wafat.
Kehebatannya cukup terserlah sejak
dari kelahirannya, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga baginda tua dan
wafat. Daripada orang biasa, baginda mengasaskan dan kemudian mengembangkan agama
yang terhebat di dunia.
No comments:
Post a Comment